PERDANA MENTERI MALAYSIA

PERDANA MENTERI MALAYSIA

Friday 18 May 2012

'VETERAN UMNO' PEMBELA AHLI-AHLI VETERAN UMNO

Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika merasnikan penubuhan Veteran UMNO WP
Oleh Abdul Rahman Hashim

TAHNIAH di atas penubuhan Veteran UMNO Wilayah Persekutuan. Terpahat di dalam lipatan sejarah UMNO Wilayah Persekutuan kerana telah terbentuknya Jawatankuasa Penaja Veteran UMNO Wilayah Persekutuan yang telah dirasmikan oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden UMNO yang juga  Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan pada 23 April 2012 yang lalu.

Auditorium Felcra yang terletak di Jalan Rejang, Setapak Jaya, Kuala Lumpur merupakan venue yang menjadi saksi penubuhannya dengan kehadiran tokoh-tokoh veteran UMNO yang masih kental jiwa perjuangan mereka, walaupun mereka tidak lagi menggalas jawatan-jawatan penting yang pernah dipikul sebelum ini. Ternyata sebahagian besar anggota veteran UMNO yang memenuhi auditorium itu begitu bersemangat ketika menyanyikan lagu 'BERSATU BERSETIA BERKHIDMAT' iaitu lagu rasmi UMNO sebelum ia dirasmikan oleh Timbalan Presiden UMNO.

Datuk Haji Zakaria Saleh, 67 telah dinobatkan sebagai Pengerusi penaja Veteran UMNO Wilayah Persekutuan. Beliau adalah mantan Ketua UMNO Bahagian Seputeh dan pernah juga aktif di dalam era Pemuda sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Damansara (Kini, Bahagian Lembah Pantai) pada tahun 1978 - 1980.

Tan Sri Muhyiddin berbual mesra dengan Dato' Sri Zulhasnan & Datuk Zakaria
Tan Sri Muhyiddin bersama-sama dengan Dr Suleiman dan Zakaria Saleh
Datuk Zakaria Saleh mempengerusi mesyuarat AJK Veteran UMNO WP.
Kelihatan juga Datuk Rahim Baba (Di foto - Kanan sekali). 

Yusof Merah (Tiga dari kanan) dan Salasiah Mohamad (Kiri sekali)
Sementara itu Dato' Mohamad. Kamal Hussain, mantan Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai yang juga mantan Ahli Parlimen Lembah Pantai telah dipilih sebagai Timbalan Pengerusi; diikuti dengan Datuk Rahim Baba, mantan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besi (Kini, Bandar Tun Razak) yang menjadi Naib Pengerusi 1, manakala Puan Salasiah Mohamad tokoh veteran Wanita UMNO Titiwangsa menjadi Naib Pengerusi II.

Sempena dengan pelancaran rasmi Veteran UMNO Wilayah Persekutuan itu juga beberapa tokoh veteran UMNO telah dinamakan sebagai Pengerusi Penaja Veteran UMNO di peringkat Bahagian; diantara mereka ialah Datuk Azrat Gull Bin Amirzat Gull menjadi Pengerusi Penaja Bahagian Batu, Datuk Ruslan Ali Omar pula dilantik menjadi Pengerusi Penaja Bahagian Bukit Bintang, diikuti dengan Mohd. Adlan Lob menjadi Pengerusi Penaja Bahagian Lembah Pantai.

Bahagian Setiawangsa pula dipengerusikan oleh Haji Abdul Rahim Abdullah. Beliau adalah Penegerusi Tetap UMNO Cawangan Setapak Jaya 1A. Haji Ridzwan Ghani pula dilantik sebagai Pengerusi Penaja Bahagian Cheras. Bahagian Seputeh dipengerusikan sendiri oleh Datuk Zakaria Saleh, manakala Datuk Rahim Baba dan Yusof  Merah masing-masing adalah Pengerusi Penaja Bahagian Bandar Tun Razak dan Bahagian Titiwangsa.

Bahagian Segambut, Kepong dan Putrajaya masih belum dinamakan pengerusi-pengerusi penajanya. Di dalam majlis itu juga, Dato' Seri Suleiman Mohamed, mantan Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan dilantik menjadi Penasihat Veteran UMNO Wilayah Persekutuan.

Sementara itu, di dalam mesyuarat ahli jawatankuasa Veteran UMNO Wilayah Persekutuan yang diadakan pada 17 Mei yang lalu, Haji Zainudin Othman (Pengerusi Bahagian Wangsa Maju) telah dilantik sebagai Setiausaha Perhubungan. Tan Sri Dr Kamal Salih pula dilantik sebagai Bendahari Perhubungan. Tan Sri Dr Kamal Salih juga merupakan mantan Ketua UMNO Bahagian Wangsa maju dan juga pernah sepenggal menjadi Ahloi Parlimen di kawasan itu. Yusof Merah (Pengerusi Bahagian Titiwangsa) pula telah dilantik sebagai Ketua Penerangan, manakala bagi jawatan Setiausaha Kerja iaitu satu jawatan eksekutif disandang oleh Abdul Rahman Hashim daripada UMNO Bahagian Setiawangsa.

Di dalam mesyuarat itu juga, Tan Sri Dr Kamal Salih telah diberi kepercayaan mengetuai Biro Kebajikan Veteran, manakala Datuk Azrat Gull dilantik mengetuai Biro Ekonomi. Jawatankuasa Veteran UMNO Wilayah Persekutuan juga akan melakukan kunjungan hormat terhadap Dato' Raja Nong Chik, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar untuk membincangkan beberapa perkara berkaitan dengan  hal ehwal kebajikan ahli-ahli veteran UMNO di Wilayah Persekutuan.

Dalam satu perkembangan lain, Datuk Zakaria Saleh, Pengerusi Veteran UMNO Wilayah Persekutuan ketika ditemui memberitahu bahawa semua ahli UMNO yang berusia 60 tahun ke atas yang tidak memegang sebarang jawatan di mana-mana peringkat parti UMNO kecuali Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap dan Pemeriksa Kira-Kira boleh memohon menjadi ahli Veteran UMNO.

"Mereka yang memohon menjadi ahli Veteran UMNO hendaklah mengemukakan borang permohonan masing-masing menerusi Jawatankuasa Veteran UMNO Bahagian untuk kelulusan, katanya.

"Bagi kes-kes tertentu, seperti ahli yang berumur antara 55 tahun hingga 60 tahun atau yang tidak menjadi ahli UMNO secara berterusan selama 10 tahun, jawatankuasa Veteran UMNO Bahagian hendaklah memajukan permohonan tersebut terus kepada Jawatankuasa Veteran UMNO Pusat," tambahnya lagi.


No comments:

Post a Comment